Pemain PJ City, Annas Rahmat (tengah) mengasak penyerang Felda United, Kei Ieda. FOTO BERNAMA


PENGENDALI FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil belum mengangkat bendera putih selepas kelab itu kekal di tangga tercorot Liga Super.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, ini kerana peluang masih lagi terbuka untuk memastikan The Fighters beraksi dalam saingan liga itu musim depan.

"Kekalahan 0-1 di tangan PJ City FC, kelmarin, bukan penamat untuk FELDA United kerana kami masih lagi mempunyai enam lagi baki perlawanan.

"Biarpun kecewa selepas gagal untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata ketika tewas kepada PJ City, saya mahu pemain menebus kembali kekalahan itu dengan mengutip mata maksimum pada baki perlawanan liga yang masih ada," katanya.

Mohd Nidzam berkata, berdasarkan kedudukan semasa, tiga pasukan iaitu FELDA United, Kuala Lumpur dan PKNP FC kini bersaing untuk keluar dari zon penyingkiran sebaik saingan liga berakhir.

Katanya, sekiranya satu daripada tiga pasukan itu berjaya mengutip sembilan mata, ia akan membantu mereka kekal dalam liga itu.

"Oleh itu, saya mengharapkan pemain tidak mengalah, sebaliknya kekal fokus untuk memberi saingan kepada lawan.

"Apa yang penting ialah kami tidak boleh lagi keciciran mata selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 3:05 PM