Zaqhwan mahu kejayaan berganda di Jepun. FOTO ARRC
Zaqhwan mahu kejayaan berganda di Jepun. FOTO ARRC
Saiful Affendy Sapran


BAGI memastikan dirinya tidak tergelincir jauh daripada pemburuan kejuaraan, kemenangan berganda pada pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun dari 28 hingga 30 Jun ini menjadi sasaran utama pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi.

Pelumba Honda Asia Dream Racing With Showa itu mahu memastikan sasaran itu menjadi kenyataan dalam usahanya untuk mengatasi Broc Parkers (Yamaha Racing Team Asean) yang ketika ini memimpin saingan ASB1000 dengan 105 mata manakala rakan senegara Azlan Shah Kamaruzaman (ONEXOX TKKR SAG Team) kedua dengan 97 mata.

Zaqhwan yang kini menduduki tangga ketiga dengan 84 mata mengakui tidak mudah untuk mengatasi cabaran Parkers dan Azlan.

"Saya perlu memenangi kedua-dua perlumbaan di Suzuka untuk mengejar Parkers dan Azlan.

"Mereka berdua mungkin mempunyai kelebihan daripada sudut jentera. Jadi saya perlu berusaha lebih keras untuk mengatasi kedua-duanya," katanya.

Zaqhwan juga berharap kekerapan beraksi di Litar Suzuka akan memberi kelebihan kepadanya.

"Saya sering berlumba dan kerap melakukan latihan di litar itu. Harap ia memberi kelebihan kepada saya.

"Satu lagi faktor yang meyakinkan saya ialah jentera Honda agak cemerlang di litar itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 3:56 PM