Poad (kiri) menanti catatan masa Khairul Hafiz. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


JURULATIH kepada Khairul Hafiz Jantan, Mohd Poad Md Kassim kini menunggu masa untuk melihat prestasi pelari pecut itu selepas berehat hampir tujuh bulan.

Pelari berusia 20 tahun itu dijangka akan beraksi di kejohanan pertama Julai ini di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Naples, Itali bulan depan.

Bagaimanapun Poad tidak meletakkan sasaran tinggi buat Khairul namun berharap pelari dikenali dengan The Speedy Jantan dapat melakukan terbaik.

"Saya cuma sasaran dia dapat melakukan catatan di bawah 10.40 saat dulu ketika ini untuk lihat sejauh mana prestasinya.

"Sebab setakat ini latihannya menunjukkan peningkatan memberangsangkan.
Terima kasih kepada ISN (Institut Sukan Negara) kerana membantu Khairul," katanya.

Pelari berasal dari Melimau, Melaka itu kini sudah kembali menjalani latihan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) selepas melalui proses pembentukan fizikal di ISN.

Mengulas lanjut, Poad menegaskan pihaknya akan bekerja keras untuk mengekalkan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara di Filipina meskipun di atas kertas, juara remaja dunia dari Indonesia, Lalu Muhammad Zohri lebih pantas.

Catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz adalah 10.18 s yang diciptanya pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), Sarawak pada Julai 2016.

Ketika menamatkan penantian emas 14 tahun Malaysia dalam acara pecut 100m di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz mencatat 10.38s mengatasi pemenang emas Singapura 2015 dari Filipina, Eric Cray (10.43s).

Gangsa menjadi milik pelari Thailand, Kritsada Nasuwun yang tiba di garisan penamat dengan catatan masa 10.43s.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 4:14 PM