KEDAH (jersi hijau) sedia menentang FELDA. FOTO/NSTP
Izzali Ismail


KEMENANGAN yang diraih Kedah dalam aksi Liga Super menentang PKNS FC Selasa lalu memberi kekuatan moral dan motivasi pasukan untuk memulakan aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang FELDA United di Stadium Darul Aman Sabtu ini.

Malah kebangkitan Kedah untuk memburu kemenangan dilihat sebagai satu elemen perjuangan yang sangat positif dalam usaha mencari bekalan selesa dilaman sendiri pada saingan kali ini.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Mohd Asmirul Anuar Aris, kemenangan itu juga turut membakar dan menyuntik semangat semua pemain yang sentiasa berusaha memberi aksi terbaik yang diharapkan pengurusan dan juga semua penyokong skuad Lang Merah.

"Saya juga mulanya risau mengenai keputusan beberapa siri perlawanan sebelum ini, namun saya gembira apabila pasukan mendapat kebangkitan dan mencapai kemenangan selepas kita mengharapkan penekanan terhadap taktikal, kecergasan dan strategi yang harus dipertingkatkan serta diambil peranan dengan lebih berkesan oleh jurulatih.

"Saya melihat perhubungan serta silaturahim sesama pemain yang semakin akrab dan penuh persefahaman, akan mewujudkan lagi momentum yang berkesan dalam usaha memburu kemenangan.

"Berdasarkan kebangkitan yang sedang ditunjukkan oleh semua pemain termasuk pemain muda, saya yakin pasukan Kedah mampu melakar kemenangan dan mendapat bekalan yang diharapkan pada aksi pertama kali ini dan seterusnya pada aksi kedua nanti di Jengka bagi melayakkan kita melangkah ke final dan merebut kejayaan Piala FA musim ini,” kata Asmirul.

Berkaitan prestasi meningkat pemain muda Fayadh Zulkifli yang meledak gol sulungnya bersama skuad Lang Merah pada perlawanan menentang PKNS FC, Amirul berkata beliau berbangga dengan perkembangan yang ditunjukkan oleh pemain muda berkenaan.

"Kebolehan pemain muda Kedah, Fayadh termasuk juga pemain muda lain, sentiasa menjadi perhatian pihak pengurusan dan kita boleh lihat kebolehan serta semangat beliau (Fayadh) yang beraksi dengan penuh yakin bersama pemain senior dan pemain import setiap kali turun beraksi.

"Dengan kemahiran serta keyakinan yang dimiliki beliau, saya yakin pemain muda ini akan lebih menyerlah dalam aksi perlawanan seterusnya berbekalkan ilmu dan pengalaman yang sedang dikutip." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 6:30 PM