MAURIZIO Sarri.
Reuters

MAURIZIO Sarri berkata pelantikannya sebagai jurulatih baharu Juventus adalah ‘pencapaian tertinggi’ sepanjang kariernya yang panjang dan mengalu-alukan kepulangannya ke Itali selepas setahun berkelana di Liga Perdana Inggeris.

Juara Serie A itu mengikat Sarri dengan kontrak selama tiga tahun awal minggu ini selepas bersetuju dengan bayaran pampasan terhadap Chelsea dan pengendali berusia 60 tahun menggantikan Massimiliano Allegri yang meletak jawatan pada akhir musim lalu.

“Ia pencapaian tertinggi dalam karier yang panjang,” kata Sarri.

“Saya memberikan segala-galanya di Napoli dan kemudiannya membuat keputusan untuk menikmati pengalaman hebat di Liga Perdana.

“Juventus adalah kelab terbaik di Itali ketika ini dan menawarkan saya peluang kembali ke Itali.

“Ia satu perjalanan panjang bagi saya selangkah demi selangkah. Saya gembira berada bersama pasukan paling penting di Itali dan ini satu langkah jauh ke hadapan selepas meraih pengalaman di Chelsea.”

Sarri pernah mengendalikan pesaing Juventus, Napoli di antara 2015 hingga 2018 dan hampir memecahkan dominasi kelab itu pada musim terakhirnya.

Napoli menyaingi sengit Juventus dalam perburuan gelaran sebelum ketinggalan empat mata.

“Selama tiga tahun saya akan berfikir bagaimana untuk menewaskan Juventus kerana mereka pasukan hebat,” kata Sarri.

“Saya berikan 110 peratus tetapi masih tidak mampu melakukannya. Ia satu pengalaman dan kini saya akan berikan segala-galanya untuk kelab ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 8:50 PM