JOO Ven (kanan) dan June Wei ke suku akhir.
JOO Ven (kanan) dan June Wei ke suku akhir.
Ferzalfie Fauzi


PILIHAN utama yang juga juara kebangsaan, Soong Joo Ven berada pada landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan Siri Antarabangsa Malaysia apabila berjaya mara ke suku akhir selepas mengalahkan Karono dari Indonesia di pusingan ketiga hari ini.

Joo Ven bermula dengan cemerlang di set pertama, sebelum mendapat tentangan sengit pada set berikutnya namun dia tenang untuk mencatat kemenangan 21-8, 22-20 di Arena Badminton Perak, Ipoh.

"Ketika di set kedua saya sedikit goyah apabila pemain lawan mendahului 8-1, namun dengan mempamerkan corak permainan berhati-hati saya mampu mengatasinya," kata Joo Ven yang akan berdepan penyandang juara juga dari Indonesia, Gatjra Piliang Cupu esok.

Dalam pada itu kecederaan buku lali kaki kiri yang menimpa Leong Jun Hao membolehkan pilihan kedua, Cheam June Wei mencatat kemenangan percuma ketika mendahului 26-24, 18-7.

Seorang lagi perseorangan lelaki negara, Lim Chi Wing tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir apabila menumpaskan rakan senegara, Chong Yee Han 21-19, 21-19.

Sementara itu, tiga pemain perseorangan wanita negara tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir dengan masing-masing berjaya mencatat kemenangan straight set.

Penyandang juara, S Kisona tidak diberi tentangan sengit apabila mencatat kemenangan mudah, 21-11, 21-5 ke atas Peng Li Ting dari Taiwan, manakala pilihan kedua, Ho Yen Mei, menumpaskan Asty Dwi Widyaningrum (Indonesia) 23-21, 21-8.

Eoon Qi Xuan pula mengejutkan pilihan kelapan dari Indonesia, Putri Kusuma Wardani 21-11, 21-10 namun menantinya di suku akhir hari ini ialah wakil Singapura, Grace Chua (pilihan utama).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 9:40 PM