ROSMADI Ismail.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


BELUM pun Bibi Ramjani Ilias Khan menghantar surat rasmi peletakkan jawatan beliau sebagai Presiden KAFA, sudah ramai ‘merisik’ kerusi panas itu termasuk ahli politik dan perniagaan.

Terbaharu, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Rosmadi Ismail seolah memberi bayangan bersedia untuk bertanding jika diberi peluang atau dicalonkan.

Menurutnya, beliau menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) untuk mencalonkan individu yang bersesuaian dan mampu membawa pasukan lebih baik seterusnya menyelesaikan isu berbangkit.

“Saya serahkan kepada PBJ untuk menentukan atau memilih calon bersesuaian serta berkelayakan kerana pada pemilihan lalu saya bertanding jawatan Timbalan Presiden namun tewas dan mungkin mereka beranggapan tidak relevan lagi.

“Cuma saya berharap jawatan presiden dapat diisi segera seterusnya membawa perubahan kepada pasukan Kelantan dan menyelesaikan isu tertangguh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Penaja Rasmi Futsal 2019 di Wisma FAM, hari ini.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Bibi Ramjani menerusi laman sosial Facebooknya mengumumkan meletakkan jawatan selepas mengharungi tempoh mencabar menjawat jawatan itu.

Selain itu, laporan akhbar juga memaklumkan terdapat sekurangnya dua ahli politik dan seorang ahli perniagaan menyatakan minat untuk merebut jawatan terbabit.

Rosmadi pernah bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden KAFA pada 2017 namun tewas kepada Datuk Seri Afandi Hamzah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 10:51 PM