KARIM Ibrahim.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


DATUK Seri Shahidan Kassim sepatutnya bertanding jawatan presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan bukan timbalan untuk penggal 2019-2022.

Itu pandangan Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim yang turut menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatannya jika Ahli Parlimen Arau itu menawarkan diri bagi kerusi nombor 1 itu.

Namun, katanya disebabkan bekas presiden itu memilih bertanding jawatan timbalan presiden, beliau nekad mempertahankan jawatannya dalam Mesyuarat Agung Tahunan pada 30 Jun ini.

Ini kerana beliau berpendapat Timbalannya, Datuk S M Muthu yang bertanding jawatan presiden adalah tidak berkredibiliti sebagai pemimpin.

“Kalau Shahidan bertanding jawatan presiden saya akan fikir dua kali untuk bertanding atau tidak. Tapi jika pilih timbalan saya rasa tidak adilah, lebih baik beliau kekalkan jawatan presiden.

“Saya pernah cakap kepada beliau, bila-bila nak ambil jawatan itu (presiden), cakap dengan saya,” katanya ditemui media di pejabatnya hari ini.

Karim yang semalam mendapat pencalonan daripada Persatuan Olahraga Perak, Kelantan dan Melaka dipilih sebagai presiden buat kali pertama untuk penggal 2014-2016 menewaskan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan mengekalkan jawatan pada pemilihan lalu tanpa dicabar.

Sementara itu, Karim berkata sekiranya memenangi jawatan presiden ia akan menjadi penggal terakhir baginya.

Katanya, dia juga akan menentukan hala tuju sukan olahraga di semua peringkat untuk pembangunan jangka panjang serta meningkatkan promosi dan kesedaran mengenai sukan itu bermula di peringkat akar umbi.

“Saya juga akan memastikan penganjuran lebih banyak pertandingan di pelbagai peringkat, meningkatkan kursus kejurulatihan dan memastikan kebajikan atlet sentiasa terjaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 11:03 PM