Nazmizan memeriahkan Kejohanan Olahraga Masters Antarabangsa Terbuka Malaysia. FOTO NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad


PEMENANG lapan pingat emas sukan SEA, Mohd Zaki Sadri serta bekas jaguh pecut, Nazmizan Mohamad antara atlet ternama negara bakal beraksi pada Kejohanan Olahraga Masters Antarabangsa Terbuka Malaysia (KOMATM) 2019 di Stadium Universiti Malaya (UM) bermula esok.

Menurut Nazmizan, 38, yang julung kali menyertai kejohanan itu, beliau menyertai acara pecut 100 meter, namun tidak meletakkan sebarang sasaran pingat. Sebaliknya beliau teruja untuk berjumpa rakan lama yang sama-sama pernah beraksi dalam kejohanan sukan tempatan dan antarabangsa.

"Saya masuk kejohanan in hanya untuk suka-suka saja, tidaklah sasar pingat. Matlamat utama nak jumpa rakan-rakan dari program bakat khas Malaysia yang ambil bahagian termasuk Zaki.

"Saya juga tidak buat latihan khusus untuk kejohanan ini hanya berjoging untuk turunkan berat badan tapi lari tetap lari," katanya dihubungi hari ini.

Bekas pemenang dua pingat emas di Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada 2003 itu berkata, dia juga berhasrat untuk menyertai Kejohanan Olahraga Masters Asia Ke-21 (AMAC) dijadual berlangsung dari 2 hingga 6 Disember 2019 di Kuching, Sarawak.

Sementara itu, Presiden Persatuan Olahraga Masters Malaysia (MMAA), S Sivapragasam berkata, seramai 600 atlet akan menyertai kejohanan KOMATM 2019 yang memasuki edisi ke-33 dan khusus bagi peserta berusia 35 tahun ke atas.

Katanya, peserta akan bertanding dalam tiga kumpulan umur iaitu 35 hingga 39 tahun, 40-44 tahun, 45-49 tahun dan 95-99 tahun.

"Selain atlet Malaysia, atlet masters dari Indonesia, Mexico, Brunei, Singapore, Sepanyol, Korea Selatan, Jepun, Poland, Ireland, United Kingdom, Uzbekistan, Hong Kong, Sri Lanka dan India turut menyertai kejohanan kali ini.

"Lebih 20 peserta berusia lingkungan 80-84 dan 84-89 bakal beraksi sekali gus menunjukkan minat yang tinggi terhadap sukan kalangan warga usia emas.

“Kejohanan ini juga sebagai persedian kita untuk penganjuran AMAC pada Disember nanti," katanya.

Selain Nazmizan dan Mohd Zaki yang juga jaguh lompat kijang dan lompat jauh, Samson Vallabouy (bekas atlet lari jarak sederhana) dan Aliudin Jumaat (bekas juara lompat bergalah) turut bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2019 @ 1:12 PM