BIBI Ramjani.

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan masih belum menerima surat peletakan jawatan Bibi Ramjani Ilias Khan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, KAFA harus menyerahkan salinan surat berkenaan dan sekiranya KAFA juga belum menerimanya ia bermakna Bibi masih lagi presiden yang sah.

“Kami tak dapat lagi (surat rasmi peletakan jawatan) dari KAFA mengenai perkara itu. Selaku badan induk bola sepak negara dengan KAFA adalah ahli gabungan kami, sudah tentu FAM perlu diberi maklum mengenai peletakan jawatan presiden.

“Mungkin mereka belum terima, sebab itu kami juga tidak dimaklumkan secara rasmi. Tapi mengikut peraturan persatuan, hasrat untuk meletakkan jawatan harus melalui tatacara yang betul.

“Malah, peraturan itu juga adalah peraturan sama yang FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) gunakan untuk semua ahli gabungan di bawahnya. Jadi selagi tak dapat surat rasmi, beliau masih lagi Presiden KAFA sehingga surat rasmi dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pada Selasa lalu, Bibi mengumumkan peletakan jawatan menerusi laman sosial Facebook miliknya selepas tidak tahan dengan desakan pelbagai pihak yang mahu beliau meninggalkan persatuan itu selepas tiga tahun memimpin KAFA.

Susulan keputusan mengejutkan itu, tujuh Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) mahu KAFA mengadakan segera mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi mencari pengganti Bibi walaupun surat rasmi belum diserahkan kepada persatuan negeri berkenaan.

“Kalau ikut peraturan tak boleh buat EGM selagi tak ada surat rasmi. Saya harap peralihan pucuk pimpinan ini biarlah dilakukan mengikut peraturan KAFA kerana setiap FA mempunyai statut yang berbeza.

“Sekiranya KAFA memerlukan apa-apa bentuk bantuan, FAM sedia membantu kerana mereka adalah ahli gabungan kami,” katanya.

Perebutan kerusi panas itu ketika ini difahamkan cukup sengit dengan beberapa nama dikaitkan untuk mengisi jawatan berkenaan antaranya Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Selain dua tokoh pilihan utama itu, dua lagi pemimpin politik turut berminat iaitu Ketua PKR Cabang Bachok, Datuk Mohd Rowi Dollah yang juga Exco KAFA dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 8:00 AM