ASHLEIGH makin serasi bermain di gelanggang rumput. — FOTO Reuters
AFP

JUARA Terbuka Perancis, Ashleigh Barty perlu menang dua perlawanan lagi untuk menjadi pemain nombor satu dunia selepas menundukkan Venus Williams 6-4, 6-3 sekali gus layak ke separuh akhir kejohanan Klasik Birmingham.

Ashleigh akan mengatasi Naomi Osaka di puncak ranking sebelum Wimbledon jika menjuarai kejohanan itu dan dia meneruskan rentetan kemenangan kepada 10 perlawanan ke atas juara Wimbledon lima kali itu.

“Saya berasakan setiap perlawanan semakin baik di gelanggang rumput dan bagus kerana saya berpeluang bermain satu lagi perlawanan perseorangan di permukaan ini,” katanya.

“Ia juga satu penghormatan untuk bermain menentang seorang juara seperti Venus.


BARBORA membalas pukulan Kristyna pada suku akhir Klasik Birmingham di Edgbaston. — FOTO Reuters

“Dia melakukan sesuatu yang mengagumkan dalam sukan ini. Dia memberi inspirasi kepada generasi berikutnya untuk memegang raket tenis. Setiap kali anda berpeluang menentangnya, ia satu keistimewaan.”

Pemain Australia itu kini akan bertemu Barbora Strycova pada separuh akhir lewat malam ini.

Strycova mengatasi rakan senegara dari Republik Czech, Kristyna Pliskova 6-2, 6-4.

Pada satu lagi separuh akhir, pemain Jerman, Julia Georges akan berdepan Petra Martic, yang menyelamatkan lima mata penamat sebelum menyingkirkan bekas juara Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 9:58 AM