AKSI Fadzrul (kiri) ketika bertemu Johor Darul Ta’zim di Larkin, baru-baru ini. — FOTO Hairul Anuar Rahim
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) sedia melanjutkan kontrak dua pemain muda Fayadh Zulkifli Amin dan Fadzrul Danel Nizam selain meletakkan harga tebus kontrak bernilai RM5 juta setiap seorang.

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris menerusi laman rasmi KFA memaklumkan kedua-dua pemain muda itu akan dilanjutkan tempoh kontrak dari tiga ke lima tahun.

“Lanjutan kontrak dua pemain yang kini berusia 21 tahun itu juga akan turut disertakan dengan harga tebus nilai sebanyak RM5 juta selaras potensi dan bakat yang mereka miliki.

“KFA akan memuktamadkan perjanjian serta lanjutan kontrak ini selepas aksi separuh akhir pertama Piala FA Kedah menentang FELDA United di Stadium Darul Aman malam ini.

“Langkah ini sejajar dengan misi dan visi persatuan yang komited menjaga kebajikan serta bakat setiap pemain dan juga memastikan situasi menang-menang antara persatuan dan pemain jika pemain mendapat tawaran beraksi di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini Fadzrul yang kali pertama beraksi dengan skuad Lang Merah memaklumkan, dia bersedia menyahut cabaran jurulatih yang mahukannya meningkatkan mutu permainan.

Fazrul berkata, dia mendapat nasihat serta tunjuk ajar penting daripada pemain senior seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Helmi Ghazali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 10:18 AM