FEDERER meraikan kemenangan ke atas Bautista Agut pada suku akhir. — FOTO EPA
AFP

ROGER Federer berharap mampu merakam kemenangan mudah selepas mengatasi pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut 6-3, 4-6, 6-4 untuk layak ke separuh akhir kejohanan ATP di Halle buat kali ke-15.

Pemain nombor tiga dunia itu mengintai peluang meneruskan rekod kejuaraan ke-10 di gelanggang rumput Halle ketika dia memanaskan badan menghadapi Wimbledon bulan depan, namun dia terpaksa bermandi peluh sebelum mara pada kejohanan itu minggu ini.

Dia menang dalam tiga set memenatkan menentang Jo-Wilfried Tsonga Khamis lalu dan dipaksa bekerja keras sekali lagi oleh Bautista Agut pada suku akhir lewat malam tadi.

“Badan saya bertindak baik terhadap gelanggang rumput, jadi saya lebih suka jika perlawanan lebih singkat,” kata Federer.


FEDERER membalas pukulan Bautista Agut pada suku akhir di Halle. — FOTO AFP

“Tapi jika tidak, tiada masalah. Saya masih mempunyai masa untuk pulih sebelum Wimbledon.”

Pemain Switzerland itu berdepan gandingan beregu Andy Murray di Wimbledon, Pierre-Hugues Herbert pada separuh akhir lewat malam ini.

“Saya amat mengenai Pierre-Hugues. Dia membalas pukulan dengan baik dan suka bermain di jaring, menjadikannya antara pemain gelanggang rumput hebat,” ujar Federer.

Pemenang 20 gelaran Grand Slam itu kini layak ke separuh akhir dalam 15 penampilan terakhir di Halle sejak tewas kepada Pat Rafter pada suku akhir 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 11:03 AM