SHAHRUL  Zaman  akan bertemu Syed Saddiq minggu depan.
SHAHRUL Zaman akan bertemu Syed Saddiq minggu depan.
BERNAMA

MALAYSIA berhasrat membida penganjuran Piala Dunia Ragbi Tujuh Sebelah edisi 2022.

Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman minggu depan bagi membincangkan perkara itu.

"Malaysia antara 12 negara yang akan membuat bidaan Piala Dunia. Negara yang sudah menjadi tuan rumah Siri Tujuh Sebelah Dunia tidak layak untuk membida, jadi untuk negara Asia, Malaysia dan Qatar telah nyatakan hasrat untuk buat bidaan.

"Cuma untuk realisasikan hasrat ini, kita perlukan sokongan daripada KBS, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta pihak korporat untuk menyokong KRM anjurkan kejohanan bertaraf dunia," katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KRM di Bandar Sukan Bukit Jalil (KLSC), hari ini.

Shahrul Zaman menjelaskan penganjuran Piala Dunia itu juga bakal menjadi platform untuk KRM buktikan kepada Ragbi Dunia bahawa Malaysia mampu menganjurkan kejohanan bertaraf dunia sekaligus memberi peluang untuk negara membida penganjuran Siri Tujuh Sebelah Dunia yang diadakan pada setiap tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 8:32 PM