CHONG Wei ketika berlatih bersama Hendrawan.
Saiful Affendy Sapran

PEMAIN perseorangan negara, Lee Zii Jia berharap jurulatih perseorangan lelaki, Hendrawan akan terus kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meskipun anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei sudah mengumumkan persaraan.

Zii Jia yang berlatih di bawah seliaan Datuk Misbun Sidek berkata, pastinya ada sesuatu cukup istimewa berkenaan Hendrawan apabila diberi kepercayaan melatih Chong Wei sehinggalah bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan persaraan 12 Jun lalu.

Katanya lagi, meskipun Hendrawan tidak melatihnya, namun bekas juara dunia 2001 itu tidak pernah lokek menurunkan ilmu kepadanya.

"Saya rasa selama ini dia membantu saya dengan sepenuh jiwanya. Secara jujur memang saya banyak belajar daripadanya. Mungkin ada laporan yang menyatakan dia akan kembali ke Indonesia tapi saya harap dia dapat kekal di sini.

"Sebab saya rasa mesti ada sesuatu yang istimewa ada padanya kerana diberi kepercayaan untuk melatih Chong Wei," katanya.

Masa depan Hendrawan mula mencetuskan persoalan selepas Chong Wei mengumumkan persaraannya. Menerusi laporan sebelum ini, Hendrawan mengakui pernah mendapat tawaran Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI) untuk pulang ke negara kelahirannya berbakti di sana.

Hendrawan yang kontraknya akan tamat Disember 2020 juga mengakui sehingga kini masih belum membuat sebarang keputusan berhubung masa depannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 10:44 PM