BAUMAN (kiri) diasak pertahanan lawan di Stadium Darul Aman. - FOTO Sharul Hafiz Zam
Izzali Ismail


KEDAH mendapat bekalan tipis apabila menewaskan FELDA United 1-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Beraksi penuh semangat di hadapan penyokong sendiri, skuad Lang Merah lebih agresif mencari gol awal dengan percubaan tandukan pemain tengah Jonatan Bauman namun tersasar selepas menerima hantaran Zaquan Adha pada minit ke-5.

Tuan rumah terus mengasak pintu gol lawan dengan percubaan pemain mudanya, Hidhir Idris pada minit ke-10 namun bola melepasi palang gol.

FELDA yang lebih gemar bertahan dilihat mengekalkan disiplin dalam menangkis serangan yang dilancarkan Kedah.

Penjaga gawang The Fighters, Norazlan Razali terus memastikan gawangnya kekal kebal apabila menyelamatkan dua percubaan tandukan bahaya Jonatan Bauman pada minit ke-31 dan Renan Alves pada minit ke-36.

Pada babak kedua, Kedah terus melancarkan usaha memburu gol menerusi sepakan percuma Baddrol Bakhtiar pada minit ke-49 namun percubaannya berjaya ditepis keluar.

Kedah terus buntu mendapatkan gol memaksa mereka bekerja keras mencari ruang untuk melakukan serangan.

Serangan bertali arus dilancarkan akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya mendapat penalti selepas pertahanan tuan rumah Renan Alves dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-66.

Peluang keemasan itu tidak disia-siakan Fernando Rodriguez yang menghadiahkan gol tunggal Kedah pada minit ke-69 dan kedudukan kekal 1-0 sehingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 11:13 PM