SUMAREH diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol di Stadium Darul Makmur. - FOTO Muhd Asyraf Sawal
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my

PAHANG menewaskan Perak 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Kemenangan skuad Tok Gajah itu juga sebagai bekalan selesa apabila bertemu sekali lagi pada separuh akhir kedua di Stadium Perak, 29 Jun ini.

Pada perlawanan itu, gol pertama tuan rumah dijaringkan pemain pertahanan, Herold Goulon yang menanduk kemas hasil hantaran lintang Nor Azam Azih untuk menewaskan penjaga gol The Bos Gaurus, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pada minit ke-11.

Tuan rumah terpaksa mengeluarkan Dickson Nwakaeme pada minit ke-31 selepas penyerang Nigeria itu mengalami kecederaan dan diganti Saddil Ramdani.

Ketiadaan Nwakame tidak menghalang Pahang menambah jaringan apabila Mohamadou Sumareh meletakkan skuad itu mendahului 2-0 selepas menerima hantaran Norsahrul Idlan Talaha pada minit ke-39.

Pelawat pula gagal memberi tekanan dan asakan atas faktor kekentalan kubu tuan rumah apabila keputusan kekal 2-0 pada separuh masa pertama.

Namun, sebaik bersambung babak kedua, skuad kendalian Mehmet Durakovic tampil dengan permainan lebih baik selepas ketinggalan dua gol.

Peluang terbaik Perak hadir menerusi J Partiban tetapi bola tendangan penyerang itu terkena tiang gol di sebelah kanan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias pada minit ke-47.

Enam minit kemudian, Partiban menebus kehampaan apabila merapatkan jurang selepas menewaskan Helmi Eliza yang menyaksikan lawan lebih banyak melakukan asakan.

Pada minit-minit akhir perlawanan, Goulon memastikan Pahang mencatat kemenangan 3-1 untuk mengecewakan Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 11:28 PM