KEVIN belum umum tarikh penyerahan geran kepada pasukan Liga M.
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Ibarat menanti buah yang tak gugur. Itulah perumpamaan paling tepat yang menggambarkan situasi dialami 24 pasukan yang bersaing di Liga Malaysia (Liga-M) ketika ini apabila masih belum menerima geran tahunan.

Walaupun beberapa kali dijanjikan untuk menerima habuan berkenaan, penantian pasukan terbabit masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda bakal berakhir sedangkan saingan liga sudah semakin hampir untuk menutup tirainya.

Pada 21 Mei lalu, badan pengendali liga tempatan, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dikatakan mahu mengumumkan penaja baharu, sekali gus memberi bayangan wang geran berkenaan sudah hampir masuk ke kantung pasukan.

Namun, memasuki baki lima perlawanan Liga Super yang bakal melabuhkan tirainya pada 21 Julai depan, bayangan untuk menerima geran masih kabur dan mungkin MFL sekali lagi melanggar janjinya kepada semua pemegang taruh Liga-M.

Wakil pasukan yang enggan dikenali berkata, beliau bukan mahu mengeruhkan keadaan dengan menyalahkan MFL 100 peratus berhubung kelewatan geran itu, namun mengharapkan situasi ketika ini dapat diselesaikan segera.

Katanya, biarpun secara teknikal, kewangan pasukan adalah mencukupi hingga hujung musim, pemberian geran RM3 juta buat pasukan Liga Super dan RM1 juta untuk Liga Perdana itu sudah tentu membantu menampung kos pasukan pembangunan seperti Piala Presiden, Piala Belia dan akademi.

“Sudah beberapa kali MFL berjanji, tapi masih lagi tak ada, persoalannya betul ke ada geran musim ini? Bukan kita sengaja nak timbulkan isu, cuma sebagai pemegang taruh yang memberi kepercayaan kepada MFL, kita mahukan perkembangan positif daripada mereka.

“Kalau ikutkan bajet pasukan, memang ia termasuk sekali dengan geran. Untuk pasukan utama tak ada masalah, cuma jika ada geran itu, ia dapat membantu pasukan pembangunan,” katanya yang menghubungi Arena Metro, semalam.

Mac lalu, MFL memberi jaminan akan berusaha menyerahkan geran tahunan kepada pasukan Liga M biarpun ketiadaan penaja utama, Telekom Malaysia (TM) musim ini.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menjelaskan nilai serta tarikh penyerahan geran hanya akan terjawab sebaik mencapai perjanjian bersama penaja baharu Liga-M nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 9:00 AM