PERTAHANAN Senegal, Salif Sane (kiri) berebut bola dengan pemain tengah Tanzania, Simon Msuva di Kaherah, awal pagi tadi. — FOTO AFP
Reuters

SENEGAL tidak hirau dengan ketiadaan penyerang yang digantung perlawanan, Sadio Mane sebelum mengatasi Tanzania 2-0 pada Piala Negara Afrika di Kaherah, awal pagi tadi.

Keita Balde meletakkan mereka di depan pada minit ke-28 sebelum Krepin Diatta merembat kencang dalam keadaan kelam-kabut pada minit ke-64 bagi mengesahkan dominasi Senegal pada aksi Kumpulan C itu.

Dianggap antara negara yang mampu mencabar tuan rumah dan pasukan pilihan Mesir merebut kejuaraan, Senegal kelihatan terlalu kuat dan pantas buat Tanzania yang melakukan kemunculan semula pada pusingan akhir sejak 1980.

Senegal patut menang dengan jurang lebih besar jika tidak kerana penyudah mereka yang agak tumpul, dengan penyerang Mbaye Niang mensia-siakan banyak peluang.


MANE (kiri) hanya mampu memerhatikan perlawanan dari bangku simpanan. — FOTO EPA

“Tidak mudah untuk menggantikan Sadio Mane, tapi pemain yang beraksi melakukan tugas mereka dan kami patut mengucapkan tahniah kepada mereka,” kata jurulatih Senegal, Aliou Cisse, yang berada dalam pasukan naib juara 2002.

“Saya katakannya sebelum ini dan saya ulangi, Senegal bukannya pasukan pilihan. Pasukan pilihan adalah mereka yang pernah menjuarainya sebelum ini,” katanya.

Penyerang Liverpool, Mane digantung perlawanan kerana mengumpul beberapa kad kuning ketika pusingan kelayakan namun ketiadaannya tidak begitu dirasai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:11 AM