Jelius (kiri) bersama pemain skuad Sabah. FOTO SABAH FA
Ryan Stanley


WALAUPUN berada di persada liga, pengendali Sabah, Jelius Ating tidak mahu anak didiknya berasa selesa sebaliknya mahu mereka fokus mencapai impian menjulang trofi Liga Perdana musim ini.

Katanya, selain mencapai sasaran untuk layak beraksi di Liga Super musim depan yang kini dilihat semakin hampir, menjuarai saingan liga adalah fokus utama mereka ketika ini.

"Mencapai sasaran layak ke Liga Super pasti menggembirakan kita namun jika kita menjadi juara (Liga Perdana), ia lebih indah dan itu adalah fokus utama ketika ini.

"Bagaimanapun, saya ingin menegaskan semua itu (layak ke Liga Super dan menjuarai Liga Perdana) masih belum menjadi kenyataan walaupun kita kini berada di landasan menuju ke arah itu.

“Selagi belum tercapai, kita tidak harus berasa selesa dengan kedudukan sekarang dan perlu bekerja keras dalam setiap perlawanan," katanya di Kota Kinabalu, hari ini.

Jelius berkata, kemenangan terhadap Sarawak dalam aksi seterusnya di gelanggang sendiri Rabu ini, penting bagi mengukuhkan lagi kedudukan mereka.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 47 tahun itu tidak memandang mudah cabaran pasukan jiran itu walaupun ketika ini skuad Ngap Sayot berada di dasar liga.

"Kita anggap Sarawak sama seperti pasukan-pasukan lain. Kita akan tetap bekerja keras cuba mencatat kemenangan.

"Apa yang penting juga adalah pemain perlu terus meningkatkan prestasi kerana tidak dinafikan kita beraksi di bawah tahap sebenar dalam dua perlawanan lalu walaupun menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 2:52 PM