Ferris mahu pastikan NS raih tiga mata berdepan Pulau Pinang. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil


SELEPAS mendapat rentak menang bergaya ke atas Selangor United minggu lalu, pemain Negeri Sembilan mahu momentum itu diteruskan apabila menentang Pulau Pinang pada aksi Liga Perdana di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang Rabu ini.

Penyerang, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir berkata, dia tidak rela hala tuju pasukannya tersekat dalam perlawanan ke-16 itu dan mahu memberikan persembahan terbaik bagi membantu pasukan mencapai kemenangan.

Kata pemain berusia 27 tahun itu, skuad Hobin Jang Hobin perlu menang untuk memastikan kedudukan tempat kelima carta liga ketika ini dapat diperbaiki.

"Kami perlu menang ke atas Pulau Pinang untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

“Kami sedar tugas beraksi di gelanggang lawan bukan mudah tatkala pasukan lawan juga memerlukan kemenangan.

"Kami perlu tampil dengan aksi mantap dan secara peribadi jika diturunkan nanti, saya akan bekerja keras membantu rakan sepasukan memastikan hasrat meraih tiga mata dicapai," katanya di Seremban, hari ini.

Negeri Sembilan sudah menetapkan sasaran untuk melayakkan diri ke saingan Liga Super musim depan kini mengumpul 22 mata, ketinggalan sembilan mata kepada Sabah yang memimpin carta liga.

Sementara itu, Muhammad Ferris yang juga bekas pemain Terengganu FC (TFC) berharap impiannya membawa skuad Rusa kembali ke Liga Super tercapai selepas gagal mengekalkan kedudukan di liga utama itu musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 4:24 PM