Norza (kiri) lega selepas Joo Ven akhiri kemarau kejuaraan senior. FOTO NSTP
Ferzalfie Fauzi


PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria ternyata lega dengan perkembangan terkini bahagian perseorangan lelaki negara terutama selepas Soong Joo Ven mengakhiri kemarau kejuaraan peringkat senior.

Menurutnya, bukan saja Joo Ven, malah Cheam June Wei yang muncul naib juara di Siri Antarabangsa Malaysia juga berjaya membuktikan bahawa kedua-duanya bersedia untuk bersama-sama Lee Zii Jia menakluk dunia.

"Saya juga senang dengan beberapa pemain muda yang cuba memberi cabaran kepada mereka seperti Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Jelasnya, secara keseluruhan ada sinar yang ditunjukkan pemain muda negara bakal mencorakkan masa depan badminton Malaysia dalam tempoh terdekat termasuk gandingan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah.

Joo Ven berjaya merangkul kejuaraan di Arena Badminton Perak, Ipoh, semalam selepas menumpaskan June Wei 21-13, 22-20 dalam aksi final.

Pearly-Thinaah pula tidak berdepan masalah untuk muncul juara beregu wanita dalam penampilan pertama mereka berganding bersama di peringkat antarabangsa selepas mengalahkan wakil Indonesia, Febriana Kusuma-Ribka Sugiarto 21-16, 11-21, 21-18.

Dalam pada itu, Norza juga bersedia untuk memberikan segala bantuan dan sokongan kepada pemain yang menunjukkan peningkatan.

"Kita sentiasa menitikberatkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan mereka yang berjaya akan diberi peluang menyertai lebih banyak kejohanan besar.

Kita juga akan membantu mereka dengan lebih lengkap dari segi sains sukan," katanya.

Ditanya mengenai pemain gagal menunjukkan peningkatan dan sudah lama berada di bawah naungan BAM, Norza memberitahu perkara itu akan dibincangkan dengan Pengarah Kejurulatihan, Wong Choong Hann.

"Saya sudah memberitahu Choong Hann untuk memberi tempoh tertentu dan peringatan kepada pemain yang gagal memperbaiki prestasi.

Ini disebabkan kita perlu memberi laluan kepada muka baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 4:48 PM