Kamarudin Mohamad (tengah) ketika ditemui media baru-baru ini. FOTO NSTP
BERNAMA

TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyegerakan Kongres Agung Luar Biasa (EGM) bagi pemilihan presiden dan barisan exco baharu satu keputusan tepat, bagi mengelakkan persatuan itu terus dibelenggu pelbagai masalah bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) Tanah Merah Kamarudin Mohamad berkata EGM tidak harus dilambat-lambatkan selepas presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan letak jawatan, kerana pasukan Kelantan yang beraksi di Liga Premier akan menghadapi empat baki perlawanan.

"Kami memuji tindakan KAFA mempercepatkan EGM, jika tidak tiada siapa yang mengambil tanggungjawab mengurus persatuan dan pasukan.

"Satu keputusan pantas dilakukan demi menyelamatkan KAFA dan pasukan terus ditambah dengan pelbagai masalah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sebelum ini KAFA memutuskan EGM akan diadakan pada 6 Julai ini bagi memenuhi hasrat ahli gabungan persatuan itu untuk memilih presiden dan barisan exco yang baharu, bagi menggantikan presiden sebelum ini yang meletak jawatan selepas hampir dua musim bersama persatuan terbabit.

Kamarudin berkata, susulan itu pihaknya akan menghantar pencalonan sebelum 30 Jun hadapan untuk dipertandingkan pada EGM kali ini.

"Kami sudah mempunyai seorang calon untuk diangkat pada EGM kali ini, yang telah mendapat kepercayaan beberapa PBJ-PBJ.

"Kami harap calon itu dan calon-calon lain yang dipilih menjadi presiden, dapat membawa perubahan walaupun bukan drastik," katanya.

Katanya pihaknya turut memuji beberapa individu yang tampil untuk menawarkan diri bagi mengisi kerusi panas yang ditinggalkan Bibi Ramjani.

Sebelum ini media melaporkan setakat ini dua individu sudah menyatakan minat menawarkan diri sebagai Presiden KAFA iaitu Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, dan ushawan muda, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 4:59 PM