Pertahanan Senegal, Salif Sane (kiri) cuba menghalang pemain Tanzania pada aksi Piala Negara Afrika. FOTO AFP
AFP

PERTAHANAN tinggi lampai Senegal, Salif Sane dijangka terlepas sekurang-kurangnya dua aksi perlawanan pasukannya dalam Piala Negara Afrika selepas disahkan mengalami kecederaan di pergelangan kaki ketika kemenangan 2-0 ke atas Tanzania.

Pemain pertahanan tengah dengan ketinggian enam kaki lima inci itu mengalami kecederaan di pergelangan kaki kiri ketika perlawanan pembukaan kumpulan C awal pagi ini di Cairo dan dijangka terpaksa berehat antara 10 hingga 15 hari berikutan kecederaan yang dialami menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Senegal.

Sane, yang bergandingan dengan pemain Napoli, Kalidou Koulibaly membentuk pertahanan mantap Senegal, dijangka terlepas aksi tumpuan berdepan Algeria pada awal pagi Jumaat dan berdepan Kenya pada 2 Julai.

Senegal bagaimanapun mendapat suntikan semangat dengan kehadiran semula bintang serangan mereka, Sadio Mane, yang sebelum ini digantung satu perlawanan pembukaan berikutan hukuman diterima ketika aksi kelayakan lalu.

Koulibaly, dilaporkan menarik minat beberapa kelab utama di Eropah, bagaimanapun dia tidak bersedia untuk bercakap mengenai masa depannya di Napoli ketika percubaan Senegal untuk memenangi kejohanan itu buat pertama kali.

“Saya tidak memikirkan mengenai masa depan saya, lebih baik saya bercakap mengenai Senegal. Kita tahu bahawa Senegal mahu melakukan sesuatu yang hebat,” kata Koulibaly.

“Semangat saya 200% bersama Senegal, saya 200% bersama dengan 15 million rakyat Senegal. Jadi hari ini saya amat tenang, saya akan beraksi untuk AFCON (Piala Negara Afrika) dan pulang ke Naples nanti, dan kita lihat apa akan berlaku.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Jun 2019 @ 10:01 PM