MSAKNI (kiri) meledak gol pertama Tunisia menerusi sepakan penalti di Stadium Tentera Suez, awal pagi tadi. — FOTO Reuters
AFP

TUNISIA muncul pasukan pilihan pertama pada Piala Negara Afrika 2019 tidak menang perlawanan pembukaan mereka apabila Djalma Campos memadamkan gol Youssef Msakni sekali gus membantu Angola seri 1-1 dalam Kumpulan E di Suez, awal pagi tadi.

Tuan rumah Mesir, Nigeria, Maghribi dan Senegal menang aksi pertama mereka pada kejohanan 24 negara itu dan satu lagi pasukan pilihan Cameroon memulakan aksi mereka menentang Guinea-Bissau, awal pagi esok.

Tunisia mendahului apabila kapten Msakni menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-34 namun pemain tengah Campos menghukum kesilapan penjaga gol Farouk Ben Mustapha pada minit ke-73.

Ia kali kedua Angola dan Tunisia bertemu pada kejohanan dwitahunan itu dan kali kedua mereka seri selepas keputusan 0-0 di Ghana 11 tahun lalu.


CAMPOS (kanan) meraikan gol penyamaannya bersama rakan sepasukan di Suez. — FOTO AFP

“Keputusan seri ini tidak memuaskan hati kami – kami mahu menang perlawanan pertama,” kata pemain gantian Ferjani Sassi.

“Kami mendahului dan mempunyai peluang untuk menambah gol, tapi tidak menggunakannya.

“Tunisia lebih bagus berbanding Angola tapi kerana kelemahan benteng pertahanan kami membenarkan lawan menjaringkan gol penyamaan.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 7:13 AM