HARISS (kanan) beraksi ketika menentang Kedah di Larkin, baru-baru ini. — FOTO Hairul Anuar Rahim
HARISS (kanan) beraksi ketika menentang Kedah di Larkin, baru-baru ini. — FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


ENGGAN berasa terlalu selesa di puncak liga, kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Hariss Harun mengingatkan rakan sepasukannya supaya berwaspada dengan ancaman Melaka United pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Hariss mengakui corak permainan skuad Harimau Selatan ketika menewaskan Selangor 3-2, Rabu lalu kurang konsisten dan berharap aksi menentang skuad kendalian Zainal Abidin Hassan lebih bagus sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

“Persembahan ketika menang ke atas Selangor baru-baru ini bukanlah permainan terbaik JDT dan masih ada ruang untuk meningkat. Jadi persiapan lebih rapi akan dilakukan sebelum menentang Melaka.

“Kami kena fokus kerana aksi seterusnya di gelanggang lawan dan pertembungan dengan Melaka penting bagi kami untuk mengekalkan momentum dalam usaha memburu kejuaraan liga keenam berturut-turut.

Safiq Rahim (kiri) dijangka kembali beraksi semula memperkuatkan Melaka United. FOTO File NSTP
Safiq Rahim (kiri) dijangka kembali beraksi semula memperkuatkan Melaka United. FOTO File NSTP

“Mengikut perkiraan, kami perlu menang dua perlawanan lagi menentang Melaka dan Perak jika mahu mengesahkan kejuaraan lebih awal. Tapi biarlah kami harungi satu persatu perlawanan malah kami tidak boleh terlalu selesa dan dibuai dengan mimpi indah,” katanya.

JDT tidak kalah berdepan Melaka sejak 2013, menang lima kali dan seri sekali. Mereka menang 2-1 di Larkin pada Februari lalu.

Apa pun Hariss berpendapat Melaka yang melakukan transformasi musim ini tampak lebih mantap dengan dibarisi beberapa pemain terbaik seperti bekas pemain JDT, Safiq Rahim selain pemain import berkualiti.

Menurutnya, kejayaan Melaka mengatasi Kuala Lumpur 1-0 baru-baru ini pasti melonjakkan lagi semangat pemain pasukan itu yang mengidam mengecewakan JDT di laman sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 12:40 PM