Farhan mahu Kedah menang. FOTO NSTP
Izzali Ismail


PEMAIN sayap Kedah Farhan Roslan mahu skuad Lang Merah manfaatkan aksi mereka dilaman sendiri menentang PJ City FC, esok dengan mengutip mata penuh.

Dia yang mengalami kecedeeaan hamstring selepas perlawanan menentang Pahang pada 14 Jun lalu kini tidak sabar kembali membantu pasukan bersaing dalam kelompok teratas Liga Super.

"Jika saya dipilih diturunkan pada aksi menentang PJ City saya mahu membuktikan aksi yang terbaik dalam usaha untuk Kedah mencari tiga mata penting di laman sendiri.

"Saingan dalam perlawanan liga super kini semakin sengit dan ini menjadi kutipan mata yang penting untuk Kedah agar terus berada pada kedudukan tiga terbaik liga.

"Kita perlukan tiga mata selepas menewaskan PKNS di Shah Alam minggu lalu dan saya yakin rakan sepasukan juga semakin bersemangat.

Farhan turut mengakui momentum kemenangan pada liga perlu diteruskan untuk membangkitkan semangat pemain bagi menghadapi menghadapi FELDA United pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, Ahad ini.

"Walaupun Kedah fokus separuh akhir kedua Piala FA, kemenangan yang dicari di Stadium Darul Aman, Alor Setar dalam aksi liga super kali ini juga sangat penting bagi mengukuhkan kedudukan,” katanya.

Farhan yakin aksi pemain-pemain muda seperti Hidhir Idris, Fayadh Zulkifli, Fadzrul Danel dan lain-lain dalam pasukan dapat membentuk persefahaman berguna apabila mereka merancang bersama pemain senior dan import.

"Persefahaman terjalin dalam kalangan mereka sangat berguna dan ini dapat meningkatkan mutu permainan serta kemajuan mereka di masa depan."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:06 PM