FIFA tolak pendaftaran Gustavo. FOTO fail NSTP
Malik Muhamad


LEWAT 30 saat membawa padah.

Itu situasi perlu diterima Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) apabila pendaftaran pemain import baharu dari Brazil, Luis Gustavo Camilo ditolak Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Ini bermakna hasrat peminat melihat Camilo beraksi dalam baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini berkecai selepas badan induk bola sepak negeri itu membuat keputusan pada saat akhir mengikat pemain itu.

Dalam kenyataan PBSNT, kelewatan 30 saat selepas Sistem Pemadanan Perpindahan (TMS) ditutup menjadi punca permohonan mendapatkan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) pemain digelar 'The Tanker' itu ditolak.

Berikutan itu, PBSNT melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat permohonan secara manual yang diajukan kepada Jawatankuasa Perpindahan dan Status Pemain FIFA.

Permohonan berkenaan turut ditolak FIFA apabila PBSNT dan kelab pemain dari Brazil, Feroviaria FC gagal melengkapkan dokumen penting diperlukan.

"Kedua-dua pasukan berjaya mencapai persetujuan perpindahan Camilo secara pinjaman beberapa minit sebelum sistem ditutup.

"Namun pengurus TMS daripada FAM tidak sempat membuat permohonan secara atas talian selepas 30 saat TMS ditutup kerana kesuntukan masa.

"FIFA turut menolak permohonan manual disebabkan gagal mengemukakan satu dokumen selain memohon di luar waktu dibenarkan," kata Setiausaha Agung PBSNT, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.

PBSNT sebelum ini menggugurkan pertahanan import Montenegro, Igor Zonjic pada saat akhir untuk digantikan dengan Camilo.

Bagaimanapun dengan situasi terkini ia bagaikan menjerat diri pasukan itu.

Mengulas lanjut, Tengku Farok berkata, PBSNT tidak akan berputus asa sebaliknya akan membuat permohonan khas kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mendaftar pemain yang sudah memiliki ITC di Malaysia.

Skuad TFC kehilangan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan pada 15 Mei lalu, sudah memiliki calon sekiranya pendaftaran khas itu dibenarkan MFL.

"Skuad Penyu di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih, Nafuzi Zain sebenarnya sudah memiliki calon yang difikirkan layak bagi menyertai TFC dan jika dibenarkan oleh MFL kita akan teruskan.

"TFC memohon maaf kepada peminat dan pihak terbabit atas kerumitan ini," ujar Tengku Farok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:41 PM