Hafizh tidak mahu kecewa tiga kali berturut-turut. FOTO KTM
Saiful Affendy Sapran


SELEPAS gagal menamatkan perlumbaan dalam dua pusingan terakhir, pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah berharap nasib malang itu tidak berulang lagi pada pusingan seterusnya di Grand Prix (GP) Assen, Belanda hujung minggu ini.

Pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya pada perlumbaan terakhir di GP Catalunya dua minggu lalu selepas mengalami kegagalan jentera ketika dia cukup yakin dapat menamatkan perlumbaan dengan mengutip mata.

Hafizh yang baru mengumpul dua mata hasil penamat ke-14 di GP Perancis, kini kembali bersemangat untuk mengutip mata.

"Saya memang tidak sabar untuk turun beraksi di Assen bermula sesi latihan pertama dan paling penting adalah ketika hari perlumbaan Ahad ini.

"Ia selepas saya tidak dapat menamatkan perlumbaan di Barcelona kerana masalah teknikal," katanya.

Sedar kemampuan jentera KTM miliknya masih agak terbatas, Hafizh menganggap GP Assen sebagai satu lagi cabaran sukar yang perlu dihadapinya.

"Saya sentiasa bekerja keras untuk menghadapi apa saja cabaran.

"Kami sedar ia bukan tugas yang muda tetapi saya tidak mahu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri dan cuba untuk beraksi sebaik mungkin bersama jentera KTM RC16," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 6:57 PM