SM Muthu (kiri) cabar Karim jawatan Presiden KOM. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


JIKA benar Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu mahu menjawat jawatan nombor satu dalam badan induk sukan itu beliau seharusnya mengambil pendekatan untuk menambat hati atlet.

Menerusi tinjauan yang dilakukan, kebanyakan atlet tidak mengenali siapakah beliau. Pekara itu sedikit menggusarkan atlet yang memikirkan bagaimana masa depan mereka jika benar Muthu berjaya menewaskan penyandang kerusi sedia ada iaitu Datuk Karim Ibrahim pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) 30 Jun ini.

Seorang atlet pecut yang enggan dikenali berkata, Karim sekurang-kurangnya tahu segala perkembangan olahraga negara.

Katanya, apa yang dilakukan oleh Karim adalah demi kebaikan atlet namun adakah presiden baru itu mampu untuk menangani segala permasalahan atlet seandainya beliau sendiri tidak mengenali atlet.

"Kami semua sudah mengenali siapa Karim dan bagaimana beliau menangani hal berbangkit dalam olahraga.

"Bolehkah presiden baru ini terima atlet senior atau sememangnya fokus kepada junior saja.

"Namun saya sokong siapa saja yang dipilih sebagai presiden sekiranya beliau boleh berjanji mampu menjaga kebajikan atlet senior dan junior tanpa pilih kasih," katanya.

Pada AGM Ahad ini, jawatan yang disandang Karim sejak 2014 akan dicabar Muthu bagi penggal 2019-2022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 7:50 PM