(Dari kanan), Noorul Ariffin, Khairuddin melawat bekas pemain bola sepak Selangor, Zapril Hashim yang mengalami penyakit kencing manis pada program ziarah dan sumbangan di Chow Kit, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Azlan Muhammad Zain


BEKAS Naib Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed menggesa ahli gabungan melakukan perubahan pucuk pimpinan pada pemilihan yang dijadualkan pada Ahad ini.

Jelasnya yang menjadi "orang kanan" Karim bagi penggal 2014-2017, peluang perlu diberikan kepada Datuk SM Muthu yang tampil mencabar kali ini.

"Perubahan pucuk pimpinan perlu ada pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ini. Muthu perlu diberikan peluang menerajui KOM.

"Pada saya, beliau adalah individu yang boleh menerima pandangan ahli gabungan. Ia adalah sesuatu yang mustahak kerana pembangunan di peringkat negeri perlu ditingkatkan," katanya.

Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Olahraga Johor menjelaskan jika gagal melakukan perubahan, olahraga negara akan kekal di takuk yang sama.

"Bayangkan kita pernah meraih emas yang banyak di peringkat Sukan SEA namun kini hanya berbangga dengan pencapaian sekitar tujuh atau lapan emas.

"Malah dalam acara tertentu seperti jarak sederhana, kita tidak mempunyai atlet yang menyerlah," tambahnya.

Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) hadir bersama Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan Dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman melawat bekas pemain bola sepak negeri berkenaan, Zapril Hashim yang menderita akibat kencing manis dan tidak memiliki sumber pendapatan tetap.

Kehidupan pemenang Piala Malaysia lima kali yang beraksi bersama Selangor dari 1978 hingga 1986 terhimpit sejak tiga jari kaki kanannya terpaksa dipotong pada 25 Mei lalu di Hospital Ampang.

"Menerusi Lembaga Zakat Selangor, dia akan dipindahkan ke rumah warga emas bagi membolehkan kebajikannya lebih terurus," jelas Khairuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:21 PM