Stuart Ramalingam pada sidang media Konvensyen Latihan AFC - FAM 2019 di Wisma FAM. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) tetap realistik meskipun mengakui peluang untuk menganjurkan Piala Dunia secara bersama dengan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dilihat sukar susulan keghairahan China untuk melobi temasya berkenaan pada 2030.

Mengikut polisi penggiliran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), sesebuah benua tidak boleh menganjurkan Piala Dunia secara berturut-turut dan sekiranya China menganjurkannya pada 2030, ASEAN terpaksa melupakan hasrat untuk menjadi tuan rumah pada 2034.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam enggan mengangkat bendera putih apabila tetap yakin Malaysia dan negara serantau mampu menganjurkannya pada Piala Dunia 2038 atau 2042.

"Kami tahu info pasal China nak membida tuan rumah sama ada 2030 atau 2034 itu dan kami akan sentiasa memantau perkembangan mereka.

"Apa yang FAM boleh buat sekarang dan negara lain, kita boleh lakukan kajian dan memerlukan kerjasama semua persatuan bola sepak untuk memastikan pihak kerajaan memahami proses bola sepak.

"Tidak mustahil ASEAN boleh dapat (hak tuan rumah) sebab kita ada ekonomi yang kuat dan penyokong bola sepak yang ramai. Kita boleh cuba Piala Dunia edisi lain sama ada 2038 atau 2042," katanya ketika ditemui pemberita pada Konvesyen Kejurulatihan FAM-AFC di Wisma FAM, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi ASEAN yang juga Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha pada Persidangan ASEAN ke-34 di Bangkok, mengumumkan semua negara anggota ASEAN bersetuju untuk mengemukakan satu bidaan bersama untuk menjadi hos acara bola sepak Piala Dunia.

Idea untuk menjadi hos bersama Piala Dunia kali pertama diusulkan oleh Jepun dan Korea Selatan, yang berjaya mengadakan acara itu pada 2002.

Dengan kejohanan itu akan diperbesarkan daripada 32 pasukan kepada 48 pasukan pada 2026, kejohanan itu akan dihos bersama oleh tiga negara buat kali pertama iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Qatar akan menjadi hos pada acara 2022, hanya kali kedua di benua Asia sejak Uruguay menjadi hos edisi sulung pada 1930.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:56 PM