FALCAO (tengah) pernah menyerlah dengan beberapa kelab ternama Eropah. — FOTO Reuters
AFP

BERBEKALKAN satu-satunya rekod 100 peratus dan masih belum dibolosi sebarang gol, Colombia memukau pada Copa America setakat ini di bawah kendalian jurulatih dari Portugal, Carlos Queiroz.

Di negara yang terkenal kerana kopi terbaik di dunia, keyakinan semakin meningkat pasukan bola sepak mereka boleh menguasai Amerika Selatan tahun ini.

‘Cafeteros’ membuat permulaan mengagumkan pada Copa America, mengalahkan Lionel Messi dan Argentina 2-0 pada perlawanan pertama mereka.

Kemenangan tipis 1-0 ke atas Qatar membantu mereka layak ke peringkat kalah mati – pasukan pertama menempah tiket – dengan berbaki satu perlawanan.

RODRIGUEZ kembali menemui sentuhan mengagumkan seperti Piala Dunia Brazil 2014. — FOTO Reuters

Kemenangan itu turut menjamin mereka sebagai juara Kumpulan B dan sekalipun Queiroz menggantikan 10 pemain pada aksi terakhir kumpulan menentang Paraguay, mereka tetap menang 1-0.

“Kejayaan terbesar kami menentang Paraguay adalah turun ke padang menyedari kami mempunyai 22 pemain yang bersedia untuk bekerja keras,” kata Queiroz, yang melatih pasukan kebangsaan kelima di empat benua.

“Saya tidak mempunyai pengganti dalam pasukan, saya mempunyai pasukan yang menarik tapi kepala saya berserabut!” katanya mengenai dilema pemilihan pemain dihadapinya bagi perlawanan berikut.

Di bahagian serangan sahaja beliau mempunyai pemain yang masing-masing mampu menawarkan sesuatu yang berbeza.

QUEIROZ pernah menjadi pembantu Alex Ferguson di Manchester United. — FOTO AFP

Radamel Falcao ternyata peledak berbisa, Duvan Zapata menawarkan ketinggian serta tandukan padu dan hadir selepas cemerlang semusim bersama kelab Itali, Atalanta, Juan Cuadrado memberikan ketepatan, Roger Martinez sibuk di sayap manakala Luis Muriel yang kini cedera penuh dengan kepantasan dan bakat.

Dengan James Rodriguez memperagakan persembahan yang menyebabkan Real Madrid berbelanja 70 juta euro (RM328 juta) untuk membawanya ke Santiago Bernabeu selepas Piala Dunia 2014, Colombia muncul pasukan terbaik pada peringkat kumpulan.

Bakat yang melimpah itu menyebabkan Queiroz – yang hanya tampil Februari lalu selepas mengemudi Iran ke separuh akhir Piala Asia – mampu mengadun pasukannya dengan pantas sebagai satu pasukan disegani.

Termasuk aksi persahabatan pada Mac dan Mei, Colombia menang enam daripada tujuh perlawanan di bawah kendalian Queiroz.

ZAPATA (kiri) memukau musim lalu bersama kelab Serie A Itali, Atalanta. — FOTO AFP

Awal pagi Sabtu ini, mereka berdepan juara bertahan Chile pada suku akhir Copa America di Sao Paulo.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 11:42 AM