MAHREZ (kiri) bersaing dengan pertahanan Kenya, Eric Ouma pada aksi pertama peringkat kumpulan di Kaherah. — FOTO AFP
AFP

RIYAD Mahrez dan Sadio Mane meneruskan permusuhan Liga Perdana Inggeris awal pagi Jumaat ini di pentas berbeza apabila Algeria dan Senegal bertemu pada Piala Negara Afrika di Mesir.

Pemain sayap Algeria, Mahrez membantu Manchester City mengetepikan penyerang Senegal, Mane dan rakan sepasukan Liverpool dalam pemburuan kejuaraan musim lalu.

Kini kedua-dua bintang itu beralih dari Stadium Etihad dan Anfield ke Stadium 30 Jun di Kaherah dan pertembungan Kumpulan C itu mungkin menjadi penentu siapa yang akan muncul juara kumpulan.

Ketika kedua-dua negara kelihatan hampir pasti layak ke pusingan 16 terakhir, menjuarai kumpulan secara teorinya membolehkan mereka bertemu lawan yang lebih mudah pada peringkat kalah mati.


MANE belum beraksi lagi buat Senegal kerana digantung perlawanan pada aksi pertama menentang Tanzania. — FOTO AFP

Penyokong, media dan orang awam lebih memberi tumpuan kepada Mahrez dan Mane, namun bagi jurulatih Algeria, Djamel Belmadi beliau kurang gembira dengan situasi itu.

“Saya tidak suka menumpukan kepada individu berbanding pasukan,” kata bekas pemain tengah Manchester City itu. “Kami tidak perlu memberi tumpuan berlebihan terhadap Riyad.”

Belmadi lebih gembira apabila mengimbau kemenangan awal pasukannya dengan Baghdad Bounedjah dan Mahrez menjaringkan gol ketika menang 2-0 ke atas Kenya.

“Meraih mata maksimum daripada aksi pertama kami terlalu bermakna kerana Algeria mempunyai sejarah permulaan buruk pada Piala Negara Afrika.”

Mane kembali selepas penggantungan perlawanan menyaksikannya terlepas aksi menang 2-0 ke atas Tanzania dan jurulatih Aliou Cisse berkata, beliau gembira terutama dengan gol separa voli pemain berusia 20 tahun, Krepin Diatta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 1:55 PM