PEMAIN PKNP FC,Pedro Victor (kiri) cuba melepasi kawalan pemain Semut Merah, Gabriel Guerra di Stadium Majlis Perbandaran Manjung. - FOTO Ihsan PKNP
Noor Hidayah Tanzizi

MASIH berbaki empat perlawanan, pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim menaruh keyakinan pasukan itu dapat membaiki kedudukan sekali gus keluar daripada kedudukan dua tercorot Liga Super.

Jelas Abu Bakar, hasrat itu akan tercapai dengan memberi fokus sepenuhnya empat perlawanan terakhir dalam memastikan pasukan tidak tersingkir dari Liga Super pada musim hadapan.

"Kita kena ada keyakinan dan saya yakin keluar dengan memfokuskan baki empat perlawanan lagi.

"Pemain juga faham tugas mereka untuk memberikan sesuatu kepada pasukan bagi memastikan pasukan berada di kelompok 10 teratas bagi mengelak tersingkir daripada Liga Super," katanya pada sidang media di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.

Abu Bakar berkata, saingan antara pasukan di kedudukan empat terbawah liga juga disifatkan sebagai lebih menarik untuk 'survival' dalam liga dan masing-masing mempunyai peluang menyelamatkan diri.

Katanya, PKNP yang kini berada pada kedudukan kedua tercorot mempunyai empat baki perlawanan iaitu menentang Kedah, Melaka United, Felda United dan PJ City yang memerlukan fokus yang tinggi untuk mengutip mata bagi menyelamatkan pasukan daripada disingkirkan ke Liga Perdana.

Sementara itu, pengendali PKNS, Datuk K Rajagobal berkata, perlawanan malam tadi juga dianggap tidak mudah kerana kedua-dua pasukan memburu mata untuk kelab masing-masing. Katanya, dia juga berpuas hati dengan permainan anak buahnya yang bermula dengan baik namun mahu pemain meningkatkan prestasi dalam perlawanan seterusnya dan meningkatkan serta memberi perhatian kepada bahagian pertahanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 6:19 PM