MEGAT D Shahriman.
Meor Riduwan Meor Ahmad

MESKIPUN Khairy Jamaluddin Abu Bakar disahkan layak bertanding jawatan presiden pada pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Sabtu ini, pertikaian mengenai status pencalonannya masih belum selesai.

Pertikaian timbul apabila pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan itu bersama empat calon bagi jawatan lain yang dihantar pada 15 Jun lalu diterima Majlis Eksekutif MPM. Perkara itu dipersoal bakal pencabarnya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin merangkap Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) yang mendesak campur tangan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) apabila jelas tertera pada borang, 14 Jun sebagai tarikh akhir.

Khairy Jamaluddin yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia, senada dan berharap MPM dapat berbincang dengan PPS kerana mempunyai masa yang cukup sebelum mesyuarat berkenaan.

Bagaimanapun, PPS yang kini difahamkan beroperasi tanpa pelantikan baru Pesuruhjaya Sukan dan Timbalan Pesuruhjaya Sukan, belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu pencalonan itu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan, Asmadi Mohamad ketika dihubungi berkata, pihaknya memang memantau setiap badan sukan yang berdaftar.

"Namun, setiap badan sukan perlu terlebih dahulu menyelesaikan apa-apa pertikaian yang timbul mengikut kaedah dan mekanisme dalaman yang diperuntukkan dalam perlembagaan. "Proses pengurusan mesyuarat agung dan urusan berkaitan seperti proses pencalonan, notis mesyuarat mahupun kelayakan seseorang calon bertanding adalah di bawah tanggungjawab MPM berlandaskan perlembagaan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung MPM, Siti Zaharah Abdul Khalid memberitahu hanya Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin akan memberi kenyataan berhubung AGM MPM.

"Namun, sehingga kini beliau tidak memaklumkan atau mengarahkan saya atau kakitangan MPM (beri kenyataan kepada media berhubung isu pencalonan). "Saya dan Datuk Subra (Naib Presiden MPM, Datuk R Subramaniam) juga tidak boleh terbabit dengan AGM. Kemungkinan beliau akan keluar kenyataan menerusi pejabatnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 10:53 PM