TIGA pemain Kuala Lumpur mengawal kemaraan pemain TFC, Tchetche Kipre (dua kanan) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - FOTO Rozainah Zakaria
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my

PEMAIN Terengganu FC (TFC) mengotakan janji untuk meraih tiga mata selepas menumpaskan Kuala Lumpur 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.

Bagaimanapun pada 20 minit pertama tiada percubaan bahaya daripada kedua-dua pasukan selain corak permainan hambar dipamerkan anak buah jurulatih TFC, Nafuzi Zain dan pengendali KL, Chong Yee Fatt.

Memasuki pertengahan babak pertama, skuad Penyu memperoleh dua percubaan menarik menerusi Ahmad Syamim Yahya dan Mohamad Nabil Latpi tetapi gagal menerjah gawang.

Pada minit ke-34, skuad Penyu dihadiahkan sepakan penalti selepas Nabil dijatuhkan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee hasil lorongan cantik pemain kelahiran Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov.

Kapten, Lee Tuck yang mengambil sepakan penalti itu pada minit ke-36 tidak melepaskan peluang keemasan untuk mencetak jaringan pendahuluan perlawanan.

Pada minit ke-39, skuad The City Boys memperoleh peluang menarik apabila Paulo Josue hanya berdepan dengan penjaga gol, namun bola tolakan pemain itu berjaya ditepis Muhamad Ilham Amirullah Razali.

Dua minit berselang, pemain pelawat menuju ke bilik persalinan dengan ceria apabila Darko Markovic mudah menolak masuk ke gawang gol selepas bola muntah daripada dakapan Muhamad Ilham untuk mengikat 1-1.

Bersambung babak kedua skuad TFC kendalian ketua jurulatih sementara, Nafuzi tampil aksi lebih bertenaga dan hampir menambah jaringan menerusi Shaakhmedov tetapi sepakannya sedikit tersasar.

Berpunca sepakan sudut Tuck, pertahanan muda yang baru dinaikkan 'pangkat', Muhammad Mohd Fauzi berjaya mencetak nama sebagai penjaring gol kedua apabila bijak menolak masuk hasil kelam kabut dalam kotak penalti.

Berbaki lapan minit perlawanan, pemain gantian, Malik Mat Ariff menambah ceria skuad itu apabila meledak gol ketiga pasukannya melalui rembatan kencang dari dalam kotak penalti hasil umpanan Shaakhmedov untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 11:19 PM