SKUAD JDT meraikan kemenangan muncul juara Liga Super 2019 selepas menewaskan Melaka United di Stadium Hang Jebat. - FOTO Rasul Azli Samad
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) sah dinobat juara Liga Super buat kali keenam berturut- turut selepas menewaskan Melaka United 2-1 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Menguasai hampir keseluruhan babak pertama skuad Harimau Selatan membuka jaringan pembukaan seawal minit ke-7 menerusi tolakan Nazmi Faiz Mansor.

Tuan rumah yang lebih banyak bertahan dengan pelawat selesa melakukan hantaran pendek yang sukar dipintas terus mendominasi barisan tengah.

Hasilnya import Brazil, Diago Santo mudah mengelirukan benteng tuan rumah untuk menolak masuk gol kedua JDT pada minit ke-26 selepas menerima hantaran Corbin Ong.

Peluang terbaik Melaka untuk merapatkan jurang hadir pada minit ke-45 namun rembatan Luka Milunovic yang menerima hantaran lintang Davy Angan tersasar.

Babak kedua menyaksikan tuan rumah cuba mengubah corak permainan dengan aksi lebih seimbang namun percubaan Safiq Rahim pada minit ke-54 tersasar ke kiri gawang lawan.

Apapun, pelawat tetap bernafsu menambah jaringan namun sepakan percuma Safawi Rasid m-78 tinggi melepasi palang gol Melaka.

Tuan rumah akhirnya berjaya membolosi gawang JDT pada minit ke-84 selepas kapten pasukan Shukor Adan menolak masuk bola muntah penjaga gol Farizal Marlias selepas menampan sepakan penalti Angan.

Kemenangan terbabit membolehkan JDT tidak perlu menunggu baki saingan liga untuk dinobatkan juara kali keenam berturut-turut berikutan mana-mana lawan terutama Pahang tidak mampu mencabar walaupun mereka menang semua perlawanan.

Sementara itu kekalahan skuad Hang Tuah di laman sendiri gagal menebus kekecewaan dengan jaringan sama di Larkin pada pusingan pertama dan kedudukan Melaka turut jatuh ke tangga keenam liga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 11:38 PM