Jurulatih Brazil, Tite (dua kiri) ketika sesi latihan skuad itu menjelang perlawanan Copa America. FOTO Reuters
AFP

JURULATIH Brazil, Tite mengakui kebimbangannya untuk berdepan penentuan penalti ketika tuan rumah bersedia berdepan Paraguay pada aksi suku akhir Copa America, pagi esok.

Brazil boleh dianggap dihantui badi penalti bertemu Paraguay selepas dua kali disingkirkan pasukan sama termasuk di peringkat suku akhir kejohanan Copa America.

Pada 2011, Paraguay mengatasi Brazil 2-0 menerusi penalti dan mara ke final di Argentina sebelum tewas kepada Uruguay.

Empat tahun kemudian di Chile, mereka mengulanginya apabila menang 4-3 menerusi penentuan penalti namun disingkirkan Argentina 6-1 pada peringkat separuh akhir.

“Saya tidak pernah tenang dalam penentuan sepakan penalti, perasaan saya tidak pernah berubah mengenainya,” kata Tite.

“Penalti tidak adil, ia mewakili kejayaan atau kegagalan dan ia tidak adil.” katanya. “Saya tidak tahu bagaimana tetapi mereka perlu cari jalan lain.”

Bagaimanapun, pembantu jurulatih Brazil, Cleber Xavier berkata Selecao “berlatih mengambil penalti pada semalam dan hari ini kami mula membincangkan strategi mengenainya.”

Tite menjangkakan barisan pemain Paraguay bakal memberi tentangan sengit menerusi rangkaian penyerang Miguel Almiron, Federico Santander dan Oscar Cardozo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 11:24 AM