Pandelela mahu cari tempat ke Sukan Olimpik. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


SELEPAS pulih daripada kecederaan belakang yang membelenggunya beberapa bulan lalu, kini ratu terjun negara Pandelela Rinong bersedia memburu tempat ke Olimpik.

Pemenang pingat perak acara 10m terjun seirama di Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengakui dia giat berlatih secara intensif untuk mempersiapkan diri bagi menyertai Kejohanan Terjun dunia di Gwangju, Korea Julai ini dari 12 hingga 28 Julai ini.

Katanya kecederannya itu sudah pulih dan berada keadaan terbaik dan terkawal hanya menunggu masa untuk beraksi.

"Kejohanan Dunia adalah kelayakan Olimpik 2020 yang pertama. Saya mahu memastikan layak ke Olimpik dalam acara 10m (meter) platform individu dan berirama seawal yang mungkin.

"Peluang untuk layak dalam acara individu lebih mudah berbanding dalam acara seirama," katanya.

Untuk memastikan tempat ke Olimpik setiap penerjun perlu berada dalam kelompok 18 terbaik dalam acara individu manakala dalam acara seirama mereka menempatkan diri di kelompok tiga terbaik.

Selain Kejohanan Dunia turut menawarkan tempat ke Olimpik adalah Kejohanan Asia di Kuala Lumpur dari 6 hingga 8 September ini yang mana juara setiap acara akan layak secara automatik.

Ditanya apakah perancangannya selepas Kejohanan Dunia, Pandelela berkata, dia mahu terus kekal konsisten dalam latihan selain memberi fokus untuk meningkatkan satu tahap darjah kesukaran yang baru.

Pandelela sebelum ini terlepas peluang menyertai Kejohanan Siri Terjun Dunia di Kazan, Russia kerana kecederaan belakang.

Mempertaruhkan penerjun sama, skuad terjun negara masih lagi menyandarkan harapan kepada barisan sedia ada seperti Pandelela, Nur Dhabitah Sabri, Leong Mun Yee, Wendy Ng, Ooi Tze Liang, Hanis Nazirul Jaya Surya, Jellson Jabillin dan Chew Yiwei, selain Cheong Jun Hoong yang masih lagi dalam proses pemulihan.

Sukan terjun sebelum ini mempunyai rekod baik di temasya besar dunia itu apabila tiga tahun lalu di Rio, Pandelela dan Jun Hoong beraksi dalam acara 10m terjun seirama berjaya menyumbangkan pingat perak.

Manakala Pandelela sebelum ini menjadi atlet wanita pertama negara meraih gangsa dalam acara 10m platform di Olimpik London.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 1:18 PM