Franco Armani (kanan) ketika menjalani latihan. FOTO EPA.
AFP

PENJAGA gol Argentina, Franco Armani memberi amaran kepada rakan sepasukannya agar tidak terpedaya dengan status ‘kerdil’ pasukan Venezuela apabila kedua-duanya bertemu di suku akhir Copa America, awal pagi Sabtu ini.

Argentina terpaksa bergelut untuk mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati selepas melakar kemenangan 2-0 ke atas pasukan jemputan, Qatar pada perlawanan terakhir Kumpulan B.

Dan mereka perlu berdepan satu lagi tugas getir untuk meneruskan kemaraan iaitu melawan Venezuela yang menjadi antara dua pasukan - daripada 10 pasukan bertanding bagi edisi kali ini - selain Ecuador - belum memenangi Copa America.

“Kami perlu menjaringkan gol, dan amat berhati-hati... bagi mengelak kejutan,” kata Armani yang juga penjaga gol kelab River Plate menjelang perlawanan yang berlangsung di Stadium Maracana Rio de Janeiro.

Armani berkata Venezuela dilihat beraksi “Pantas merampas bola dan menyerang menggunakan kelajuan pemain sayap mereka.”

“Penyerang Newcastle, Salomon Rondon juga mampu mengawal bola dengan baik dan mempunyai pergerakan yang hebat.

Ketika juara 14 kali Argentina itu dianggap mengharungi kempen mengecewakan bagi ramai pengkritik bagi edisi kali ini, Armani percaya skuad itu semakin menunjukkan peningkatan.

Mereka memulakan perlawanan dengan kekalahan 0-2 kepada Colombia sebelum menghidupkan peluang menerusi beberapa keputusan kontroversi yang mengikat 1-1 berdepan Paraguay dan hanya kemenangan ke atas Qatar pada perlawanan terakhir mengesahkan mereka layak beraksi ke peringkat seterusnya.

“Kami memulakan Copa kali ini dengan buruk dan semakin baik. Perlawanan demi perlawanan kami mula meraih keyakinan, kami kembali menjadi pasukan yang sepatutnya dan prestasi kami baik menuju ke suku akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 1:19 PM