Aidil (kanan) mahu pemain Kedah ambil pengajaran. FOTO NSTP
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


WALAUPUN berjaya mengutip tiga mata dengan menewaskan PJ City FC (PJCFC) 3-2, ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mahu pemain skuadnya mengambil pengajaran dari 90 minit perlawanan dilalui di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

"Kita harus belajar sesuatu dari perlawanan itu. Kita mendahului lawan dengan dua jaringan namun mereka masih boleh bangkit menyamakan kedudukan dan memberi tentangan sukar .

"Dua gol dijaringkan bukan jaminan kemenangan kerana bolasepak adalah mengenai keseluruhan aksi 90 minit. Jika kita meneruskan rentak permainan seperti itu dalam perlawanan seterusnya, kita akan dihukum.

”Saya ucap taniah kepada pemain Kedah dan PJCFC.

Aidil bagaimanapun tidak menolak kemungkinan sedikit faktor keletihan melanda skuadnya yang kini sedang fokus pada aksi separuh akhir pertama Piala FA sebelum ini.

"Pemain mungkin sedikit keletihan namun saya tidak pasti itu adalah jawapan. Kita perlu mengambil pengajaran perlawanan itu dan tidak boleh mengulangi situasi kerana tiga mata hanya milik kita hanya apabila wisel penamat dibunyikan.

"Kita lega kerana meraih tiga mata penuh. Ia membuatkan pemain mendapat motivasi dan cuba bayangkan jika kita gagal mengutip mata, pastinya tidak mudah untuk menghadapi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Jengka nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 2:11 PM