Azizulhasni berlatih di Australia bersama Beasley. FOTO NSTP
Azlan Muhammad Zain


SELEPAS ‘bertapa’ beberapa bulan di Melbourne, Azizulhasni Awang kembali semula ke velodrom, minggu depan.

The Pocketrocketman bersama-sama Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis dijadual menyertai perlumbaan kelas 1 di Eropah sebelum menghadapi kejohanan lebih besar termasuk siri Piala Dunia.

"Mereka akan menyertai kejohanan di Eropah bagi memulakan musim baru dengan misi bagi mengutip mata bagi melayakkan diri ke siri Piala Dunia nanti.

"Semua perancangan dan program yang direncanakan di Melbourne berada dilandasan tepat," jelas ketua jurulatih negara, John Beasley.

Beasley menjelaskan latihan di Melbourne lebih memberi tumpuan di gimnasium dengan tumpuan membina otot jisim pelumba seperti yang dimaklumkannya sebelum ini.

Trio negara dijadual menyertai perlumbaan 29.

GP Keirin di Jerman pada hujung minggu nanti sebagai kejohanan pertama disusuli Dublin Track Cycling International di Ireland dari 6 hingga 7 Julai.

Barisan pelumba utama negara kemudiannya akan kembali ke Malaysia bagi menyertai Kejohanan Grand Prix Asia Tenggara (22 dan 23 Ogos) selain Kejohanan Trek Kebangsaan (25 dan 26 Ogos) di Velodrom Nilai selain Grand Prix Beijing (30 dan 31 Ogos).

Seterusnya mereka akan menghadapi kejohanan lebih tinggi seperti Kejohanan Trek Asia dan siri Piala Dunia.

Mereka berdepan misi penting perlu dicapai pada musim terakhir sebelum menghadapi Olimpik Tokyo tahun depan.

Malaysia mengintai peluang untuk layak ke Olimpik menerusi acara pecut berpasukan dengan kedudukan semasa menyaksikan trio negara di kedudukan ke-14 dunia.

Hanya lapan pasukan terbaik selepas tamat kelayakan akan meraih tiket ke Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 3:34 PM