SULTAN Sharafuddin Idris Shah bergambar bersama penaja Piala Sultan Selangor 2019 di Istana Alam Shah. - FOTO Saddam Yusoff
Ruwaida Md Zain
sukanteam@nstp.com.my

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini berkenan menerima sumbangan penajaan kira-kira RM1.2 juta bagi perlawanan Piala Sultan Selangor 2019 pada 24 Ogos depan di Stadium Shah Alam.

Pengerusi Piala Sultan Selangor 2019, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, baginda menerima sumbangan itu dalam bentuk cek daripada 15 syarikat selain daripada kerajaan Selangor. "Terima kasih Menteri Besar Selangor yang komited dalam usaha memastikan kejayaan penganjuran Piala Sultan Selangor 2019 melalui sumbangan kerajaan negeri dan anak syarikat kerajaan negeri (GLC) berjumlah RM579,999.99.

"Antara GLC yang menyumbang adalah Perbendaharaan Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), KDEB Waste Management, Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) Sdn Bhd.

"Terima kasih juga kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang bersetuju menjadikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi Piala Sultan Selangor 2019," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada majlis penyampaian cek sumbangan Piala Sultan Selangor 2019 dan jamuan teh di Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Amirudin Shari; Gobind; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Khaidir A Majid.

Dalam pada itu, Abd Karim berkata, buat julung kali Piala Sultan Selangor 2019 kali ini menawarkan pelbagai cabutan bertuah untuk peminat bola sepak.

"Bagi peminat bola sepak yang hadir, mereka berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah istimewa menerusi pembelian tiket berharga RM10. Beberapa hadiah cabutan yang disediakan termasuk sebuah Honda City bernilai RM80,000; motosikal Harley Davidson 883 Iron bernilai RM80,000 dan penginapan tiga hari dua malam di Marriott Kota Kinabalu untuk tiga pemenang" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 8:20 PM