HAMIDIN bersama Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - Foto ihsan Facebook Football Association of Malaysia.
Firdaus Hashim

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Istana Negara, hari ini.

Menerusi kenyataan media di laman Facebook FAM, kunjungan hormat berkenaan turut membincangkan beberapa perkara termasuk mendapatkan pandangan dan idea Sultan Abdullah bagi memantapkan perancangan dan pengurusan badan induk itu.

Untuk rekod, baginda pencinta nombor satu sukan bola sepak di mana Sultan Abdullah pernah menggalas tugas selaku Presiden FAM sebelum ini dari 2014-2017.

"Antara perkara dibincangkan ialah perkembangan Peta Hala Tuju F:30 yang dilancarkan 31 Oktober tahun lalu dan perancangan membina ibu pejabat baru FAM dan pusat latihan kebangsaan yang lengkap di Putrajaya.

"Datuk Hamidin turut menerangkan persiapan skuad kebangsaan menghadapi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, September depan dan projek naturalisasi yang merupakan antara usaha jangka masa pendek, sederhana dan panjang dalam melonjakkan tahap skuad kebangsaan tanpa mengetepikan program pembangunan yang sedia ada.

"Datuk Hamidin juga memohon pandangan mengenai perancangan FAM memandangkan baginda berpengalaman luas dalam bola sepak tempatan dan antarabangsa termasuk menggalas tugas selaku Presiden FAM sebelum ini," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 10:39 PM