VAN Den Berg menandatangani kontrak bersama Liverpool. - FOTO Agensi
Reuters

LIVERPOOL mencapai perjanjian dengan kelab Belanda, PEC Zwolle bagi menandatangani pemain pertahanan berusia 17 tahun, Sepp van den Berg, menurut jurucakap kelab hari ini.

Van den Berg selesai memuktamadkan terma kontrak jangka panjang dan akan menyertai pemenang Liga Juara-Juara itu bulan depan selepas memperolehi pelepasan antarabangsa.

"Perasaan yang sukar digambarkan. Bagi saya Liverpool kelab terbesar di dunia dan ia seperti mimpi menjadi nyata. Saya sangat gembira,” kata Van den Berg dalam laman web kelab The Reds.

"Saya nampak perkembangan pemain daripada akademi kelab ini. Sangat mengagumkan apa yang berjaya dilakukan kelab sehebat ini.”

Van den Berg melakukan 15 penampilan bersama Zwolle musim lalu ketika mereka menduduki tempat ke-13 dalam liga.

Pemain skuad B-19 Belanda itu berkata, dia teruja memajukan diri dengan mendapat bimbingan pengurus Liverpool, Juergen Klopp.

"Sudah tentu beliau menjadi punca salah satu saya ke sini dan Anfield tempat terbaik untuk saya mengembangkan karier. Saya berharap dapat beraksi lebih banyak perlawanan,” kata Van den Berg.

Liverpool menduduki tempat kedua di belakang Manchester City dalam Liga Perdana musim lalu sebelum menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 pada final Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 11:30 PM