MAHREZ (kiri) cuba mengekang Mane pada aksi Piala Negara Afrika di Kaherah. — FOTO AFP
AFP

RIYAD Mahrez dan Algeria melaungkan amaran kepada pencabar kejuaraan Piala Negara Afrika dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan pilihan Senegal di Kaherah, awal pagi tadi.

Bintang Liverpool, Sadio Mane bergelut untuk menyerlah sekembalinya daripada penggantungan perlawanan ketika Youcef Belaili merembat masuk gol kemenangan pada minit ke-49 bagi menjamin kemaraan Algeria ke pusingan 16 terakhir.

Hampir sedekad sejak Algeria kali terakhir melakukan impak pada kejohanan itu dengan layak ke separuh akhir edisi 2010 dan persembahan itu menjanjikan sesuatu yang hebat daripada pasukan utara Afrika itu di depan penyokong di Stadium 30 Jun.

“Kami tidak boleh katakan kami kelihatan seperti pasukan juara. Mengalahkan Senegal bukan satu perkara mudah untuk dilakukan dan tidak banyak pasukan mampu melakukannya, tapi ia tidak bermakna semuanya sudah selesai,” kata jurulatih Algeria, Djamel Belmadi.


BELAILI (dua kanan) meraikan gol kemenangan bersama rakan sepasukan di Stadium 30 Jun, Kaherah, awal pagi tadi. — FOTO EPA

“Ia hanya perlawanan kedua kumpulan. Memang benar kami menentang pasukan yang amat kuat tapi ia hanya aksi peringkat kumpulan.”

Senegal, yang memburu kejuaraan benua buat julung kali, masih dijangka menyertai Algeria ke pusingan kalah mati apabila mereka melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang Kenya pada 1 Julai ini.

“Sudah tentu Sadio Mane boleh bertindak lebih baik,” kata bos Senegal, Aliou Cisse.

“Ada banyak kesilapan teknikal dalam permainan kami. Dia kurang menyerlah tapi saya tidak bimbang. Satu pasukan perlu meningkatkan tahap permainan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 8:05 AM