SM Muthu.
Aida Adilah Mat


PENYANDANG jawatan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim dilihat goyah menjelang mesyuarat agung tahunan badan induk itu Ahad ini.

Pencabarnya, Datuk SM Muthu berkata, beliau melihat Karim cuba memancing undi dengan mengeluarkan manifesto dua hari sebelum AGM berlangsung.

Katanya, manifesto yang dikeluarkan Karim itu seharusnya dilakukan pada lima tahun lalu dan bukannya sekarang.

"Bila di cabar baru takut dan keluar semua manifesto. Beliau patut lakukan semua itu lima tahun lalu.

"Tak guna keluarkan manifesto sekarang kalau menang nanti apapun tidak di buat," katanya.

Muthu yang menjawat jawatan Timbalan Presiden itu turut menempelak Karim apabila menjadikan pemilihan badan induk itu seperti pilihan raya politik.

"Ini adalah pemilihan badan sukan dan bukan pilihanraya politik. Jangan nak samakan sukan dan politik.

"Apa yang penting tugas yang anda perlu lakukan apabila menang. Bukan menabur janji sebelum pertandingan saja.

"Tunggu saya menang dan lihat apa yang akan saya lakukan. Memang sekarang boleh cakap macam-macam tapi tak guna jika akhirnya nanti tak buat apa-apa," katanya.

Justeru Muthu berharap, setiap delegasi yang akan memilih tampuk pimpinan Ahad ini, membuat keputusan tepat dan memikirkan siapa yang sesuai menjalankan tugas untuk masa depan.

Katanya, pengalaman lalu perlu dijadikan iktibar oleh semua dan angin baru perlu di bawa masuk ke dalam KOM untuk olahraga berkembang.

Kerusi nombor satu KOM menyaksikan saingan satu lawan satu yang mana Muthu mencabar Karim bagi jawatan presiden.

Untuk rekod Karim dipilih sebagai presiden buat kali pertama pada penggal 2014-2016 apabila menang dengan majoriti besar menewaskan Datuk Wan Hisham Wan Salleh, sebelum mengekalkan tanpa bertanding selepas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 11:50 PM