MALONEY (kiri) ketika mengendalikan sesi kem latihan pusat skuad B-23 di Wisma FAM tahun lalu.
Firdaus Hashim

PENGENDALI baharu skuad bawah 19 (B-19) tahun negara Brad Maloney mengakui terkejut dengan pelantikannya bagi menggantikan Bojan Hodak selepas diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Maloney bukan nama asing buat peminat bola sepak tanahair kerana beliau memiliki pengalaman luas ketika menjadi penolong jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee ketika bersama pasukan senior dan B-23 dalam pelbagai kejohanan peringkat antarabangsa seperti Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, Sukan SEA 2017, Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China tahun lalu dan Sukan Asia.

Justeru, bekas pemain skuad Olimpik Australia itu menjelaskan, sekarang masa untuk beliau membalas kembali kepercayaan diberikan badan induk tempatan itu dengan memberi keputusan positif.

"Saya ingat mengucapkan ribuan terima kasih kepada Presiden (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam kerana mempercayai saya membimbing pasukan B-19.

"Saya akan cuba terbaik dan membalas kepercayaan diberikan untuk memacu pasukan ini ke tahap yang lebih baik,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Mengulas mengenai tugas berat untuk meneruskan kecemerlangan ditinggalkan Hodak sebelum ini, Maloney mengakui sudah bersedia berdepan segala cabaran termasuk kritikan.

Katanya, beliau akan terus memantau aksi liga terutamanya saingan Piala Belia bagi melihat potensi dan bakat pemain sebelum memanggil ke latihan pusat bulan depan.

Ujian pertama bakal ditempuhinya adalah Kejuaraan B-18 AFF 2019 di Vietnam dari 5 hingga 18 Ogos ini di mana Malaysia akan turun selaku juara pasukan bertahan.

Menerusi undian menyaksikan skuad negara diletakkan dalam kumpulan B yang dianggap sebagai kumpulan maut bersama Thailand, Vietnam, Australia, Singapura dan Kemboja.

Seterusnya, Maloney akan mengharungi kelayakan Kejuaraan AFC B-19 di Kemboja dari 2 hingga 10 November nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 10:35 PM