SILVA tetap mahu kunci Messi. FOTO/AGENSI
Reuters

LIONEL Messi tidak berada pada tahap terbaiknya di Copa America namun pertahanan Brazil Thiago Silva berkata pasukannya tidak akan melepaskan perhatian mereka terhadap kapten Argentina itu walaupun seminit dalam perlawanan separuh akhir awal pagi Rabu.

“Dia pemain terbaik dunia dan masih mampu melakukan kebangkitan,” kata Silva pada sidang media awal pagi tadi menjelang pertemuan Copa pertama membabitkan kedua-dua pasukan sejak final 2007 di mana Brazil menang 3-0.

“Kami akan sentiasa memerhatikannya ketika kami mendapat bola dan sebaliknya. Kadangkala dia hanya kelihatan berjalan ketika perlawanan tetapi dia sentiasa mencari ruang untuk melakukan serangan balas.

“Satu penghormatan dapat bertemu dengannya lagi dan kami akan cuba untuk menghalang pergerakannya.”

Messi hanya menjaringkan satu gol dalam kejohanan itu -menerusi penalti- dan mengakui dia tidak bermain pada tahap terbaiknya.

Dia hanya melakukan tiga percubaan ketika pasukannya menang 2-0 ke atas Venezuela pada suku akhir, tiada satu pun yang mengenai sasaran.

“Hakikatnya saya tidak melalui Copa America terbaik saya, ia sentiasa sukar bagi kami kerana kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza dan melakukan serangan dan pasukan berkumpul di tengah padang,” katanya.

“Tiada siapa yang memberikan gol mudah dalam Copa, ia amat sukar bermain kerana padang terlalu teruk, memalukan. Bola seperti arnab, ia boleh pergi ke mana sahaja dan anda tidak boleh menggelecek.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 9:50 AM